Selasa, 20 Julai 2010

Jasamu dikenang,
Budimu tak terbilang,
Semangatmu dijulang,
Kepimpinanmu gemilang.

Demikian... ungkapan ketokohan Encik Karim E Ismail iaitu Tokoh Guru di peringkat bahagian Daerah Keningau pada tahun 2010.

Encik Karim E Ismail dilahirkan pada 18 November 1938 di Pensiangan, Nabawan Sabah. Kini, beliau menetap di Kg Bingkor Baru, Keningau bersama keluarga tersayang.

Menyingkap sejarah pendidikan beliau, di peringkat sekolah rendah beliau pernah menuntut di Bingkor,Keningau; Jesselton dan Menumbok. Selepas melewati zaman persekolahan peringkat rendah, beliau mengambil peperiksaan SRP secara persendirian di Daerah Papar. Keinginan dan minatnya untuk menjadi seorang pendidik termakbul apabila diterima mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Beliau mengkhusus dalam pengajian Bahasa Inggeris. Beliau turut berpeluang melanjutkan pelajarannya di English Language Institute, Victoria Welliton, New Zealand.

Encik Karim E Ismail berkhidmat dengan kerajaan bermula pada 1 Januari 1958 sehingga 18 November 1993. Di sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, beliau pernah menjawat jawatan guru penolong, Guru Besar, Penyelia Peperiksaan, PenyeliaSekolah, Pegawai Pendaftaran Division 1A, Pegawai Pendidikan Pedalaman Keningau & Beaufort, serta pegawai Pendidikan Daerah Beaufort. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sekolah-sekolah di Jabatan Pelajaran Sabah bermula pada tahun 1987 sehingga bersara pada November 1993.

Di antara sumbangan terbesar sepanjang perkhidmatan beliau ialah:
- Pernah mamberi tunjuk ajar Bahasa Inggeris kepada guru-guru di Daerah Papar
- Pencetus perjuangan awal dalam bidang kesenian dan kebudayaan, khususnya tarian tradisional agar dipertandingkan dalam bidang kesenian dan kebudayaan, khususnya tarian tradisional agar dipertandingkan di dalam Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPPS)
- Mewujudkan sekolah-sekolah rendah baharu melalui Projek Khas Sekolah; iaitu 6 buah sekolah rendah di Daerah Keningau, 4 Daerah Beaufort & sebuah di Daerah Nabawan.
- Mempelopori pembinaan rumah rehat atau asrama secara bergotong-royong bagi kemudahan murid-murid yang tidak berpeluang tinggal di asrama di kawasan-kawasan terpencil seperti Pensiangan, Nabawan, serta Tulid & Dalit di Daerah Keningau.

Di atas jasa & sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai seorang pendidik, beliau telah menerima beberapa penghargaan dan anugerah seperti Anugerah Bintang Kebesaran Negeri Sabah & Persekutuan, Sijil Perkhidmatan Cemerlang & pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru peringkat Pantai Barat Selatan.

Kini, walaupun Encik Karim E Ismail sudah memasuki alam persaraan, jiwa & raga beliau masih setia dangan pendidikan, malah beliau masih aktif dalam Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Sabah.

Buah selasih di dalam puan,
Dibawa gadis di tengah laman,
Takkan hilang jasamu tuan,
Jadi ingatan sepanjang zaman.

Teks disediakan oleh: Pusat Kegiatan Guru Keningau
Pembaca teks Tokoh Guru: Elvydina Barnad

1 ulasan:

  1. Walaupun peranan saya setakat pembaca teks/ suara latar bagi Paparan Visual Anugerah Tokoh Guru 2010, namun saya cukup berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pihak Pusat Kegiatan Guru Keningau dalam proses pembikinan paparan ini & secara tidak langsung saya dapat menyumbangkan tenaga dalam Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Keningau 2010.

    BalasPadam